LAPORAN bedah siasat kematian tiga gadis di parkir stesen minyak di Sama Gagah, Pulau Pinang, Khamis lalu, disebabkan terhidu gas karbon monoksida hingga mengakibatkan kegagalan pelbagai organ berfungsi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata keputusan itu berdasarkan laporan bedah siasat yang dimaklumkan kepada polis.
“Laporan bedah siasat mendapati bahawa benar ketiga-tiga mangsa maut akibat pelbagai organ mereka gagal berfungsi disebabkan terhidu karbon monoksida.
“Kini tinggal seorang lagi mangsa yang dirawat dan mari kita sama-sama doakan semoga dia cepat sembuh,” katanya seperti dilapor BH.
Sebelum itu, Shafee berkata, pemeriksaan juruteknik mendapati kenderaan dinaiki empat sahabat berkenaan mengalami kebocoran ekzos .
“Juruteknik memeriksa kereta mendapati berlaku kebocoran kerana bahagian ekzos mengeluarkan bunyi dan bau asap sangat kuat.
“Akibat kebocoran itu menyebabkan asap disedut masuk ke dalam ruang kenderaan terbabit dan mangsa tidak sedar kerana terhidu gas beracun,” katanya.
Dalam kejadian itu, mangsa, Sharifah Fariesha Syed Fathi; Ayuni Shazwanie Shabri; Nor Adilah dan Nor Aqilah masing-masing berusia 21 tahun berhenti berehat di stesen minyak berkenaan sebelum meneruskan perjalanan pulang ke rumah masing-masing dekat Sungai Petani dan Gurun, Kedah.
Sharifah Fariesha ditemui maut di tempat kejadian, manakala Ayuni Shazwanie meninggal dunia dalam perjalanan menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya.
Nor Adilah dilaporkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera Lumut.
Kembarnya pula, Nor Aqilah masih dirawat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan Zainal Abidin, Kuala Lumpur. -Malaysiapost

