93 ditahan ingkar PKP

0
2

SERAMAI 93 individu ditahan polis atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan 85 ditahan reman, manakala lapan lagi dikenakan kompaun, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata antara kesalahan ingkar arahan PKP yang dilakukan ialah tidak memakai pelitup muka (33); tidak jaga penjarakan fizikal (32) dan melakukan aktiviti dalam pub atau kelab malam (14).

“Selain itu, premis beroperasi tanpa kebenaran (7); gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (6) dan gagal kemukakan surat kebenaran keluar atau masuk kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) (1),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, sehingga semalam, polis membuat sebanyak 56,557 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Pemantauan dilakukan di 3,340 pasar raya; restoran (4,795) dan penjaja (1,482), kilang (1,131), bank (3,365) serta 661 pejabat kerajaan.

“Pemantauan turut dilakukan di 1,038 terminal pengangkutan darat; terminal pengangkutan air (206) dan terminal pengangkutan udara (210),” katanya.

Mengenai Op Benteng, Ismail Sabri berkata, pihak berkuasa berjaya menahan 65 pendatang asing tanpa izin (PATI) tiga tekong dan seorang penyeludup.

“Turut dirampas, 14 kenderaan darat. Sebanyak 82 sekatan jalan raya (SJR) Op Benteng dilaksanakan semalam membabitkan pelbagai pihak berkuasa,” katanya. -Malaysiapost