MENTERI Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan tuduhan yang kononnya Sabah tidak mampu dipertahankan jika berlaku sebarang ancaman dari luar.
Sebaliknya, beliau berkata semua cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap siaga dan berkeupayaan untuk mempertahankan negeri itu.
Jelasnya, tuduhan pihak tertentu kononnya pasukan keselamatan tidak bersedia dari segi keupayaan tidak berasas sama sekali.
Malah, tegasnya usaha terus diambil untuk memperkasa dan menambah kekuatan pasukan Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sabah.
“Pasukan keselamatan negara, Tentera Darat, TLDM dan TUDM sentiasa bersiap siaga mempertahankan Sabah jika ada sebarang ancaman.
“Ada yang mengatakan kita tidak bersedia, tidak mempunyai kemampuan untuk menjaga keselamatan, sempadan dan kedaulatan Sabah, ini semua tidak betul,” katanya di Kota Kinabalu.
Beliau berkata, sebuah Briged Infantri; tiga batalion Infantri; tiga Rejimen Artileri; sebuah Rejimen Armor dan sebuah Skuadron Pasukan Udara Tentera Darat adalah antara yang akan diwujudkan di Sabah bagi mengukuhkan pertahanan darat.
Pada masa sama, katanya, pos kawalan sempadan akan ditambah menjadi 19 keseluruhannya berbanding 17 sebelum ini.
Bagi TLDM, katanya dua lagi kapal perang baharu akan dihantar ke Sabah apabila pembinaannya yang sedang dilakukan di China siap.
Katanya, ketika ini sebuah kapal perang baharu sudah berada di negeri ini untuk melaksanakan kawalan perairan.
“Pasukan TUDM juga sentiasa bersiap sedia walaupun tiada pangkalan di Sabah tetapi jet kita hanya mengambil masa 15 minit untuk ke pantai timur Sabah dari pangkalan Labuan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya akan menimbangkan pemberian elaun bantuan bulanan antara RM300 hingga RM350 kepada veteran ATM bagi menghargai sumbangan golongan itu dalam mempertahankan negara.
Katanya, ia antara usaha menambah baik program kebajikan veteran ATM yang hanya menerima bantuan sekali gus RM500 ketika menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM). – MalaysiaPost

