Nilam Oshman
PERMAINAN Avatar versi animasi yang kini tular itu di Facebook, tidak haram untuk dimainkan tetapi mestilah tidak membawa maksud atau tujuan tertentu, kata Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman.
“Permainan itu cuma gambar seseorang versi kartun, itu perkara biasa, yang penting tak bawa apa-apa maksud.
“Selain itu, gambar seperti potret, lukisan, animasi (kartun) itu boleh cuma yang tak boleh bila ia berbentuk, maksudnya yang ada bayang macam patung, tak bolehlah.
“Lepas itu, gambar yang boleh mendatangkan fitnah, menghina agama sama sekali tidak boleh,” katanya ketika dihubungi MalaysiaPost.
Katanya lagi, hukum bergambar bergantung pada niat, tempat dan tujuan sama ada ia boleh jadi haram ataupun tidak.
“Gambar ini dari segi hukum ada waktu haram apabila buat gambar tak elok, ada waktu wajib seperti gambar passport, ada waktu mobah/harus jika kita bergambar mana-mana, ada waktu jadi sunat untuk kita mengingati saudara-mara,” katanya.
Mengulas berkenaan permainan aplikasi ramalan pula, beliau berkata, mempercayai ramalan hukumnya haram kerana perkara ghaib itu tiada siapa tahu melainkan Allah.
“Contoh, kita jumpa tukang tilik, dan percaya apa yang dia ramal, hukumnya haram dan syirik. Begitu juga, permainan ramalan itu.
Sementara itu, bekas Pensyarah Akademik Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Asmak Husin, berkata permainan avatar itu ada dua maksud, pertama berkait dengan ketuhanan dan kedua imej diri.
“Jadi, permainan avatar ini bukan khusus pada ketuhanan saja. Tiada apa, boleh main kecuali jika ada lambang tuhan memang tak bolehlah.
“Lagipun, avatar itu gambar kartun biasa, tiada masalah,” katanya.
Ahli Dewan Undangan itu turut mengulas berkenaan permainan ramalan berkata, bahaya mainan seperti itu sekiranya kita percaya, haram jadinya.
“Main suka-sukapun tak boleh sebab ia prediction (ramalan),” katanya. – Malaysiapost

