BELUM ada keperluan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Tawau atau Lahad Datu, walaupun kedua-dua daerah itu mencatat peningkatan kes Covid-19.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata hanya Penjara Tawau dan lokap Ibu Pejabat Polis Lahad Datu dilaksanakan PKP Bersasar (PKPB) berdasarkan kes dikesan di kedua-dua lokaliti itu.
Katanya, andaian PKPD dilaksanakan di Tawau dan Lahad Datu berikutan ada sekatan jalan raya dibuat di beberapa lokasi di kedua-dua daerah adalah tidak betul.
Jelasnya, jumlah kes yang dikesan tinggi kerana ia membabitkan semua tahanan di penjara terbabit, namun ia hanya berada di lokaliti terbabit.
“Itu yang kita nampak setiap hari dan mana-mana yang positif kita akan terus hantar ke pusat rawatan. Sekarang kita kenal pasti juga kontak rapat mereka dan buat saringan dari lokaliti atau kampung mereka,” katanya di Kota Kinabalu, hari ini.
Ismail Sabri berkata lokaliti kontak terbabit masih dipantau dan jika didapati meruncing barulah ditutup seperti dalam kes kluster Sivagangga, di Kedah.
Mengulas mengenai sekatan jalan raya yang dilaksanakan anggota polis di beberapa lokasi sekitar Tawau dan Lahad Datu, beliau berkata ia adalah perkara biasa dan tiada kaitan dengan PKPD.
“Polis buat sekatan jalan raya itu perkara biasa melalui Ops Penawar dan ia dijalankan berterusan dengan fokus di Lahad Datu dan Tawau,” katanya.
Katanya tidak adil untuk melaksanakan PKPD di seluruh Sabah sedangkan kes Covid-19 hanya dikesan meningkat di Tawau dan Lahad Datu.
Pada masa sama, katanya, tidak adil juga jika kedua-dua daerah itu ditutup kerana bukan semua kampung mencatat kes Covid-19.
Pantai Timur Sabah ketika ini mempunyai kluster Selamat, Pulau, Laut dan Benteng dengan 340 kes pesakit Covid-19 masih menerima rawatan di Tawau, selain 143 di Lahad Datu dan 14 kes di Kunak. – Malaysiapost

