JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini melakukan proses nyah kuman di Kompleks Parlimen susulan seorang pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) yang pernah hadir ke Parlimen didapati positif Covid-19.
Bernama melaporkan, Ketua Pentadbir Parlimen berkata, pegawai berkenaan hadir di kompleks itu pada 10 September lalu bagi membantu Timbalan Menteri Kerja Raya ketika sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Negara.
“Berhubung dengan keberadaan pegawai terbabit di Parlimen, beliau dibenarkan masuk dan bertugas kerana melepasi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan tidak menunjukkan sebarang gejala,” katanya menerusi kenyataan.
Sehubungan itu, bagi memastikan kelancaran persidangan Dewan Negara yang berbaki tiga hari lagi iaitu pada 21 hingga 23 September ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju JBPM melaksanakan proses itu.
Menurut kenyataan itu, SOP pencegahan Covid-19 yang diguna pakai pihak Parlimen juga mendapat kelulusan MKN dan Kementerian Kesihatan.
Semalam, JKR dalam kenyataan memaklumkan seorang kakitangannya dikesan positif Covid-19 selepas menjalani ujian swab secara rawak di Lapangan Terbang Kuching, Sarawak pada Isnin lalu.- Malaysiapost

