ISTERI Allahyarham Abam Bocey, Nor Hidayah Mohd Ali kini sudah memiliki sebuah kedai di Sabak Bernam, Selangor selepas lima bulan mengusahakan perniagaan cempedak goreng.
Hidayah 28, meluahkan kegembiraan dan syukur dengan rezeki yang dikurniakan Allah menerusi statusnya di Instagram, hari ini.
“Alhamdulillah syukur pada Allah. Hari Jumaat yang penuh barokah ni, syukur pada Allah berkat, kesabaran, titik peluh berniaga kecil-kecilan cempedak goreng saya mampu mempunyai kedai yang tak seberapa ini.
“Terima kasih kepada abang saya kerana bantu dapatkan kedai ini. Terima kasih mak, abah dan keluarga tercinta yang sentiasa doakan serta memberi sokongan.
“Terima kasih juga kepada Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) yang meluluskan permohonan Kedai No 19 degan cepat. Alhamdulillah syukur,” katanya.
Hidayah dan Abam berkahwin pada 8 Disember 2017 di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Bernam.
Abam meninggal dunia pada 10 Februari lalu selepas dua hari mengalami demam.- Malaysiapost

