Hina OKU: Presiden Gamis mohon maaf

0
1

PRESIDEN Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) Mohd Zofrie Zulhilmie memohon maaf atas tindakannya yang disifatkan menghina golongan orang kurang upaya (OKU).

Ia susulan tindakan Mohd Zofrie Dalam dalam satu video yang dimuat naik di akaun media sosial menunjukkan seorang rakannya seplah-olah mengajuk OKU berjalan bagi mendapat tempat letak kereta di sebuah masjid.

“Assalamualaikum dan salam Jumaat. Saya Mohd Zofrie ingin buat permohonan maaf secara terbuka untuk semua khususnya golongan OKU yang telah melihat video saya bersama rakan di parking (tempat letak kereta) seperti di dalam video.

“Tiada niat untuk saya memperkecilkan golongan kurang upaya dan sebagainya, saya khilaf dalam perbuatan saya,” ciapnya di Twitter hari ini.

Beliau juga berjanji akan lebih berhati-hati dengan segala tindakannya pada masa akan datang serta menegaskan bahawa perbuatannya itu tiada kena mengena dengan organisasi yang disertainya.

Sementara itu, Pemuda DAP Damansara meluahkan kekecewaannya terhadap perbuatan Mohd Zofrie dan rakannya itu.

Ketua Pemuda DAP Damansara dan juga Adun Kampung Tunku, Lim Yi Wei berkata, fungsi petak tempat letak kereta OKU yang dilukis lebih besar daripada parkir kereta biasa kerana dikhaskan untuk kemudahan OKU.

“Ia memerlukan banyak pertimbangan, dari kelandaian tanah, penyediaan ‘ramp’ dan ‘railing’ untuk golongan pengguna kerusi roda, dan sebagainya, supaya hak golongan OKU untuk bebas menjalankan aktiviti harian, menjadi warga yang produktif, dan mendapat akses kepada perkhidmatan terpelihara.

“Kami percaya bahawa usaha yang dilakukan oleh pihak masjid, lain-lain pemilik premis dan juga pihak berkuasa tempatan untuk menyediakan kemudahan untuk golongan OKU tidak patut disia-siakan sebegitu dan disalah guna oleh individu-individu yang tidak bertanggungjawab malah mempersenda golongan OKU,” katanya dalam satu kenyataan.- Malaysiapost