Fitri Nizam
MODUS operandi sindiket dadah rentas sempadan menggunakan pelampung berisi syabu seberat 4.1 kilogram yang diikat pada boya di perairan Tanjung Piai, Johor, untuk diseludup ke negara jiran gagal.
Taktik itu dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia ketika pelaksanaan Op Benteng Laut kira-kira 1.9 batu nautika barat daya Tanjung Piai, jam 3.10 pagi tadi.
Maritim Malaysia menerusi hantaran di Facebook berkata, ketika pemeriksaan, terdapat dua pelampung berwarna putih berukuran 35.56 sentimeter setiap satu diikat pada boya berkenaan.
“Apabila pelampung tersebut diambil dan diperiksa, didapati terdapat empat bungkus teh Cina seberat 4.10 kilogram dengan purata berat 1.03 kilogram bagi setiap bungkusan.
“Empat bungkusan teh Cina tersebut mengandungi serbuk kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu,” katanya.
Maritim Malaysia berkata, pihaknya percaya ia taktik baharu untuk menyeludup keluar dadah berkenaan ke negara jiran.
“Nilai keseluruhan rampasan dadah berkenaan dianggar RM225,000 dengan nilai pasaran semasa di negara ini lebih kurang RM55,000 bagi setiap kilogram.
“Maritim Malaysia akan melakukan siasatan lanjut kes ini bagi menjejaki pihak atau penjenayah yang terlibat dalam pengedaran dadah ini supaya dalang jenayah rentas sempadan akan dikenakan tindakan keras,” katanya.
Menurutnya lagi, Maritim Malaysia bersama agensi penguat kuasa lain serius dan bersiapsiaga untuk membanteras segala bentuk jenayah rentas sempadan, selaras objektif kawalan sempadan menerusi Op Benteng Laut bagi mengekang kemasukan Covid-19 melalui jalan laut. – Malaysiapost


