Cinta ayah pada mak buat kami belajar erti kasih sayang – Ebit Lew

0
2

SIFAT bapa yang penyayang, bekerja kuat dan mencurahkan sepenuh cinta kepada ibu, mengajar kami erti kasih sayang, kata pendakwah popular dan pengasas Elewsmart, Ebit Lew.

Ebit Lew menzahirkan demikian sebagai terima kasih atas kasih sayang bapanya yang memberi contoh kepada anak-anak bagaimana suami menghargai dan mencintai isteri.

Ia dizahirkan beliau dalam ucapan selamat hari lahir kepada bapanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.

“Selamat hari lahir bapaku yang tercinta, 17 September. Berkat doa bapak. Dari kecil kami tak sambut sangat hari lahir bapa, sebab dulu-dulukan…. Terima kasih bapa besarkan anak-anak. Bapa yang dulu-dulu garang dan pendiam dengan anak-anak.

“Kerja kuat dan mencintai mak. Setiap hari kasih sayangnya. Makan mesti berdua dengan mak. Takkan makan seorang diri. Sanggup dari Pahang ke KL (Kuala Lumpur) tak makan sebab mak tak ada sekali.

“Tunggu nak makan dengan mak. Bila makan berbual berdua setiap hari. Siram bunga sekali. Sama-sama teman masak.

“Sampai saya fikir macam manalah bapa saya nak hidup tanpa mak. Mak tanpa bapa. Takut fikir masa tu. Cinta itu buat kami semua belajar kasih sayang dan menghargai isteri. Menghargai pasangan,” katanya.

Ebit Lew berkata, selepas ibunya meninggal, bapa kerap bermimpikan arwah ibu.

Katanya, bapanya dulu seorang yang garang hingga anak-anak takut untuk mendekati, namun kini beliau puas dan bahagia dapat memeluk dan mencium bapa.

“Sampai sekarang bapa saya selalu mimpi… arwah mak. Subhanallah rupanya ada kisah cinta begitu. Sekarang saya dah berani peluk. Cium. Pegang tangan bapak potong kek.

“Sampai sekarang sibuk usahakan kebun kecilnya. Puas saya nasihatkan. Tapi setiap hari tetap nak pergi cangkul. Membaja. Tanam pokok. Ada saja tambah pokok apa-apa, banyak pula tu. Siap boleh jual. Asal cuma nak riadah. Kuat kerja dan suka belanja keluarga. Diri sendiri kasut baju semua tak nak beli.

“Ya Allah tuhanku ampuni, sayangi dan berilah kasihatan yang baik buat bapa. Sayangilah arwah ibu di sana. Selamat hari lahir bapaku yang tercinta,” katanya. – Malaysiapost