Anthony Loke cabar Armada desak PM isytihar MJM KVDT2

0
2

Fitri Nizam

BEKAS Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mencabar Armada Bersatu mendesak Perdana Menteri untuk mengisytiharkan Memorandum Jemaah Menteri (MJM) berkenaan projek Landasan Berkembar Elektrik di Lembah Klang Fasa Dua (KVDT2).

Katanya, dengan mengisytiharkan MJM, semua fakta, latar belakang serta ulasan dari Kementerian Kewangan, Kementerian Hal-Ehwal Ekonomi dan Jabatan Peguam Negara dapat diketahui semua pihak.

Beliau berkata, persoalan ditimbulkan Ketua Penerangan Armada, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir yang menuntut penjelasan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkenaan penganugerahan semula projek KVDT2 kepada syarikat Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd (DMIA) jelas menunjukkan sayap itu tidak membuat ‘kerja rumah’.

“Mereka langsung tidak memahami fakta asas dalam isu tersebut yang telah saya perjelaskan berkali-kali beberapa minggu lalu selepas isu 101 projek diluluskan secara rundingan terus dibangkitkan di Parlimen.

“Untuk rekod dan berlaku adil kepada Guan Eng, saya ingin menegaskan Kementerian Kewangan (ketika itu) secara konsisten menyarankan projek tersebut ditender semula dalam semua ulasan mereka kepada Jemaah Menteri.

“Mungkin Armada tidak memahami cara keputusan dibuat dalam Jemaah Menteri. Untuk makluman, keputusan Kabinet perlu dibuat secara kolektif selepas perbincangan dan perbahasan dalam mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ia bagi menjawab isu dibangkitkan Armada berhubung kehilangan dana berjumlah RM1 bilion melalui projek menaik taraf kemudahan infrastruktur KVDT2 ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Seremban itu berkata, dalam kes KVDT2, kertas pertimbangan tersebut dibentangkan beliau selaku Menteri Pengangkutan ketika itu.

Katanya, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan mencadangkan projek tersebut ditender semula.

“Namun, majoriti Ahli Jemaah Menteri berpendapat projek tersebut patut dianugerahkan semula kepada DMIA-LTAT JV kerana beberapa faktor seperti pengurangan kos yang dipersetujui sebanyak 15 peratus.

“Risiko tindakan undang-undang oleh kontraktor terhadap kerajaan akibat pembatalan kontrak ditandatangani oleh kerajaan terdahulu, kepentingan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dalam projek tersebut dan supaya projek boleh diteruskan tanpa kelewatan,” jelasnya.

Beliau turut mendedahkan antara menteri yang lantang menyokong projek berkenaan dianugerahkan semula kepada DMIA adalah menteri Bersatu yang masih ada dalam Kabinet hari ini.

Namun Loke tidak mendedahkan identiti menteri terbabit. – Malaysiapost