‘Badut’ sasar KUFC ke Piala Malaysia

0
2

BEKAS anggota skuad ‘treble’ Selangor 2005, Nazrulerwan Makmor dilantik sebagai ketua jurulatih sementara Kelantan United (KUFC).

Pelantikan pengendali berusia 40 tahun itu menamatkan teka teki siapa pengganti Zahasmi Ismail yang direhatkan pengurusan pasukan, susulan prestasi tidak memuaskan dalam tiga perlawanan terakhir.

Nazrulerwan atau dikenali sebagai ‘Badut’ ketika bergelar pemain, menyasarkan KUFC layak ke Piala Malaysia musim ini dengan mahu meletakkan pasukan itu berada di kedudukan tiga terbaik Liga Perdana.

“KUFC pasukan bagus, mempunyai barisan pemain berkualiti, selain mampu memberikan cabaran dan saingan dalam empat baki perlawanan Liga Perdana.

“Buat masa ini tiada perubahan ketara akan saya lakukan namun memberikan tumpuan kepada kelemahan dan meningkatkan kelebihan pasukan,” katanya.

Nazrulerwan berkata, beliau kini mahu memberikan tumpuan terhadap perlawanan menentang pasukan Sarawak United.

“Tiada tekanan untuk menggalas tanggungjawab diberikan pihak pengurusan bagi mengendalikan pasukan, malah saya mahu menjadikan ia sebagai cabaran.

“Sasaran awal saya mahu membawa tiga mata di tempat lawan. Ia amat penting sebagai motivasi untuk melangkah lebih jauh dalam baki perlawanan seterusnya,” katanya.

Selepas tujuh perlawanan KUFC berada di kedudukan ketujuh carta Liga Perdana dengan memperoleh sembilan mata hasil tiga kemenangan dan empat kekalahan. – Malaysiapost