Maut selepas 4 hari ditikam

0
2

SELEPAS empat hari bertarung nyawa, seorang lelaki yang parah ditikam dengan senjata tajam, meninggal dunia di Hospital Shah Alam, semalam.

Mangsa, Mohammad Haykal Che Haron, 25, mengalami kecederaan parah di perut akibat ditikam di hadapan sebuah restoran di Seksyen 9 Shah Alam.

Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata kejadian berpunca daripada pertengkaran mulut antara mangsa dan dua lelaki yang berniaga di hadapan restoran berkenaan.

“Difahamkan mangsa memarahi kedua-dua lelaki berkenaan tanpa sebab selain cuba menumbuk muka salah seorang lelaki itu.

“Pada masa itu, seorang lagi lelaki yang melalui kawasan itu cuba meleraikan keadaan, namun mangsa mengejarnya sejauh 100 meter sebelum rebah dengan kesan darah pada bahagian perut.

“Siasatan awal mendapati tiada orang awam melihat kejadian dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi tidak berfungsi disebabkan gangguan bekalan elektrik,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Baharudin berkata, mangsa yang tidak sedarkan diri dikejarkan ke hospital dan menjalani empat kali pembedahan untuk menghentikan pendarahan dalaman.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa ditikam dengan objek tajam sekali di bahagian tengah abdomen dan tikaman itu terkena usus mangsa.

“Susulan kejadian itu, polis menahan tiga individu berusia 29 hingga 47 tahun yang mana salah seorangnya mempunyai satu rekod jenayah mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Dua suspek direman sehingga Ahad ini manakala seorang suspek yang mempunyai kad orang kurang upaya (OKU) penyakit mental yang dibebaskan dengan jaminan, ditahan semula bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – Malaysiapost