BN bawa pembangunan di Sabah, Warisan tak buat apa-apa

0
1

KETUA Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membidas dakwaan bahawa BN gagal membawa pembangunan di Sabah ketika memegang kuasa.

Menurutnya, pembangunan yang dinikmati rakyat Sabah hari ini adalah hasil daripada pentadbiran BN, sebaliknya tiada perkara baru sepanjang 26 bulan pentadbiran kerajaan Warisan.

“Kalau nak kata BN tak buat apa-apa untuk Sabah tidak betul kerana perlu diingat BN adalah parti yang memerintah sebelum ini, dakwaan kononnya BN tidak melakukan apa-apa untuk Sabah tidak benar sama sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ceramah umum bersama Calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu, Andi Muhammad Suryady Bandy di Dewan Terbuka Pentas KK Hamid Hassan, di Tawau.

Ketua Pemuda Umno itu berkata, kerajaan pimpinan Warisan menghentikan segala perancangan yang dibuat BN termasuk projek mega seperti Lebuhraya Pan Borneo.

Jelasnya, projek itu bukan saja memberi kesan besar kepada ekonomi negeri, malah mampu mewujudkan perubahan landskap sosio ekonomi dan sosial kepada Sabah.

“Ini yang direncanakan, tetapi apabila BN yang berkuasa pada waktu itu dinafikan dan dikhianati, ditukar kepada kerajaan Warisan maka semuanya terhenti.

“Sudah tentu rakyat mengharapkan projek-projek tersebut diteruskan kerana ia bukan untuk kerajaan atau kroni, tetapi untuk rakyat sekali gus memberi peluang pekerjaan selain limpahan ekonomi berganda.

“Malangnya projek ini tergendala dan terhenti kerana pelbagai persepsi cuba ditimbulkan kerajaan Warisan dan yang jadi mangsa adalah rakyat. Sebab itu rakyat khususnya golongan muda mahu ubah balik,” katanya. – Malaysiapost