PENGACARA dan penulis lirik, Ahmad Fedtri Yahya terbabit dalam kemalangan semalam, kata isterinya, Anita Ismail menerusi hantaran di Facebook.
Susulan kemalangan itu, Ahmad Fedtri yang juga penerbit di TV3 mengalami pelbagai kecederaan di muka dan telah selesai menjalani pembedahan.
“Assalamualaikum. Suami saya, Ahmad Fedtri Yahya, terlibat dalam kemalangan dan selesai menjalani pembedahan malam tadi.
“Banyak kecederaan di muka – semuanya sudah dijahit sempurna. Alhamdulillah. Doakan yang terbaik untuk kesembuhannya,” katanya.
Hantaran dimuat naik di Facebook Ahmad Fedtri Yahya, awal pagi tadi.

Sementara itu, Harian Metro melaporkan Ahmad Fedtri terjatuh dari basikal di kawasan tempat letak kereta Sri Pentas, Bandar Utama, jam 10.30 pagi semalam.
Ketika kejadian, dia baru membuat liputan program Kayuhan Hari Malaysia untuk Malaysia Hari Ini (MHI), menyebabkannya cedera di bibir, kening, dagu dan rahang.
Dia kini dirawat di pusat perubatan di Petaling Jaya.

