Covid-19: Masjid Al-Aqsa ditutup 3 minggu

0
2

PEKARANGAN Masjid Al-Aqsa ditutup bermula Jumaat ini berikutan peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19.

Pihak berkuasa pentadbiran tempat suci itu, Majlis Wakaf Islam (Wakaf) berkata, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat tergempar anggota Wakaf dengan pegawai kesihatan, selepas Israel dan Palestin melaporkan peningkatan ketara jangkitan virus itu.

Sehubungan itu, anggota Wakaf memutuskan untuk menghentikan kemasukan jemaah dalam pekarangan Masjid Al-Aqsa untuk tempoh tiga minggu bermula Jumaat ini.

Anggota Wakaf, Hatem Abdel Qader memberitahu, pihaknya berharap orang ramai memahami keperluan melaksanakan keputusan itu demi kesihatan dan keselamatan mereka sendiri.

“Bagaimanapun panggilan azan akan terus berkumandang di bandar lama Baitulmaqdis dan kakitangan Wakaf dibenarkan menunaikan solat dalam masjid,” katanya seperti laporan AFP.

Penutupan itu juga secara kebetulan bersamaan dengan perintah berkurung dilaksanakan Israel, yang mengawal pintu masuk ke pekarangan masjid itu.

Ini adalah kali kedua pihak Wakaf memutuskan untuk menutup pekarangan Masjid Al-Aqsa sejak Israel menguasai timur Baitulmaqdis selepas Perang Enam Hari pada 1967.

Sebelum ini, pihak Wakaf menutup pekarangan Masjid Al-Aqsa pada Mac lalu akibat ancaman Covid-19 yang semakin memuncak.

Pihak berkuasa Israel melaporkan, hampir 167,000 kes Covid-19 termasuk 1,147 kematian, manakala di Tebing Barat, 214 dilaporkan maut akibat virus itu, manakala lebih 30,200 kes direkodkan pihak berkuasa Palestin. – Malaysiapost