Lesen dan nombor pendaftaran basikal: perlu atau tidak?

0
2

Mohd Azizul Hasni Awang

[Sudut Pandang] RAMAI yang minta saya komen mengenai cadangan basikal perlu lesen dan plat ini. Saya cuba ringkaskan sebaik mungkin kerana kalau nak cerita dengan lebih terperinci mungkin agak panjang huraian dan penjelasannya.

Pertamanya, idea dan cadangan ini bagus, tetapi bagi saya ianya adalah pilihan yang terakhir kerana ada banyak lagi idea dan cadangan lain yang bagi saya perlu atau boleh diaplikasi terlebih dahulu. Nak menjaga keselamatan penunggang basikal yang populasinya makin bertambah ini, pada cadangan saya adalah:

1- Pihak penguat kuasa perlu duduk berbincang dengan pelbagai pihak untuk hadir dengan satu polisi atau peraturan baru bagi kaki basikal ini. Peraturan yang saya maksudkan di sini adalah peraturan ketika berkayuh di lebuh raya, peraturan berkayuh di jalan-jalan kampung, peraturan berkayuh di off-road dan peraturan-peraturan yang bersangkut paut dengannya. Juga perlu ada sebuah polisi keselamatan integrasi di jalan raya.

2- Perlu ada kempen dan awareness (kesedaran) program dan projek mengenai kayuhan dengan selamat dan betul. Saya pun tak suka bila tengok rakan-rakan cyclist lain yang kayuh macam atuk nenek mereka punya jalan, kerana ini membahayakan keselamatan dan boleh menimbulkan kemarahan pengguna jalan raya yang lain. Tapi saya percaya juga kebanyakan dari mereka ini tidak mempunyai pengetahuan asas cara-cara serta peraturan ketika di jalan raya. Maka kita perlulah beri perhatian bab ini. Cadangan ini adalah lebih cost effective berbanding cadangan seterusnya.

3- Berkayuh di jalan raya bahayakan? Maka boleh difikirkan untuk membina litar basikal, di mana hanya peminat sukan berbasikal boleh berkayuh di sini tanpa gangguan kenderaan lain. Tidak perlu pergi jauh. Negara jiran kita, Thailand pun sudah lama ada litar basikal. Boleh google ‘Skylane Bangkok’ terletak berdekatan Suvarnabhumi Airport. Trek berbasikal ini amat popular di Bangkok dan mempunyai jarak 23.5 kilometer satu pusingan. Kayuhlah sampai lebam kat dalam tu. Korea pun dah lama ada trek khas basikal ini dan mereka lagi hebat, trek yang jaraknya nearly 1,000 kilometer menghubungkan dari negeri ke negeri lain. Peminat sukan basikal boleh berkayuh stage by stage ala-ala macam Tour de Langkawi (touring) dan mereka yang complete total 1,000 kilometer itu akan dapat certificate.

4- Ada banyak lagi nak tulis tapi fokus yang tiga itu dulu, kalau ada nak tambah apa-apa boleh cadangkan di ruangan komen.
Let’s say kita pilih jalan terakhir iaitu aplikasikan lesen dan nombor plat. Ini bermaksud penunggang basikal juga akan mempunyai hak yang sama di atas jalan raya. Maka perlu dibina infrastruktur khas kepada penunggang basikal ini seperti laluan khas basikal serta tempat parking basikal di kebanyakan tempat. Ini kita boleh lihat di beberapa negara Eropah.

Seperti negara Holland atau Belanda, basikal merupakan antara pengangkutan harian untuk ke tempat kerja, di sana ada laluan khas dan tempat parking basikal khas di merata-rata. Di Melbourne, Australia pula mempunyai bike paths atau trails yang khas. Anda boleh google Melbourne Bike Grid Map dan tengok sendiri betapa sistematik dan bagaimana ianya bersambung antara satu sama lain dan sangat efektif untuk digunakan.

Malah ramai yang memilih untuk berkayuh ke tempat kerja kerana lebih cepat dan meningkatkan tahap kesihatan. Ianya juga menjadi produk pelancongan, di mana kita boleh berkayuh sambil menikmati sejarah serta keindahan kota Melbourne.

Saya tidak pasti negara mana masih mengenakan plat ini, tetapi di Eropah rata-rata sudah tidak digunapakai. Di Poland dikenakan lesen plat selepas World War 2 sehinggalah akhir 1960an. Di Switzerland pula pernah diguna pakai lesen plate yang dipanggil ‘Velovignette’, tetapi sudah diberhentikan pada tahun 2011. Di Jerman juga mereka sudah berhenti lesen plate ini lama dahulu kerana ingin menggalakkan rakyat mereka ‘mengayuhkan kebasikalan’ itu.Di Toronto, Canada ada dibincangkan idea ini pada tahun 1984, 1992 dan terkini 1996, tetapi tidak diterima ramai kerana ianya tidak efektif. Antara beberapa faktor utama ianya ditolak adalah mengenakan lesen dan plat ini tidak mengubah ‘behaviour’ atau perlakuan pengayuh basikal itu dan keduanya, menimbulkan kepayahan kepada kanak-kanak yang juga berkayuh ke sekolah (dan sebagainya) dan boleh menghalang minat ke arah aktiviti yang lebih sihat.

Mengenakan lesen dan plat hanyalah akan mengurangkan pengguna basikal. Sekarang ini kita nak galakkan rakyat Malaysia berbasikal sebab boleh melahirkan rakyat yang sihat walafiat, kalau di tackle dengan betul mungkin boleh mengurangkan kesesakan lalu lintas (kurang pengguna kenderaan), basikal ni pun negara maju lain considered as clean, quiet and green. Lepas tu tak ke berkembang juga ekonomi dari sektor basikal ini? Jual beli barangan basikal dan yang berkaitan, sektor sains sukan, sektor kejurulatihan dan lain-lain.

Andai kata ingin juga aplikasikan lesen dan plat, perlulah ada juga ujian untuk mendapatkan lesen ini, mana boleh beri lesen sesuka hati sahaja. Jadi, perlu difikirkan pula untuk ada satu sistem seperti pengguna kenderaan lain yang perlu menduduki ujian untuk mendapatkan lesen. Dah, kalau ada yang tidak lepas lesen itu macam mana pula? Banyak yang saya hendak huraikan, tetapi rasanya cukuplah ringkasan ini sahaja dulu buat masa ini.

Kesimpulannya, bagi saya adalah jika hendak membina bike lane atau laluan khas seperti negara-negara maju lain itu mungkin agak complicated sedikit infact kita sudah cuba dulu dan gagal. Nak bina sebuah infrastruktur khas ini adalah a different level of funding dan memerlukan dana yang besar (kurang sesuai dengan keadaan sekarang-ekonomi kurang stabil).

Oleh sebab itu bagi saya, mungkin buat masa ini kita cuba aplikasikan dahulu point saya yang nombor 1 dan nombor 2 dahulu (kalau boleh nombor 3 lagi bagus) atau mungkin ada banyak lagi idea-idea bernas dari rakyat Malaysia yang lain sebelum idea lesen dan plat diguna pakai.

Atau mungkin juga sudah sampai masanya untuk diberikan pengiktirafan undang-undang (Recognition of Law) kepada pengayuh basikal seperti pengguna-pengguna jalan raya yang lain? – Malaysiapost

Penulis adalah pelumba basikal trek profesional Malaysia