Kerajaan tubuh Majlis Khas bagi MA63

0
2

Nurul Huda Abhar

TAN Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sentiasa komited memastikan hak-hak bagi Sabah dan Sarawak sepertimana terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 adalah terpelihara.

Menurut Perdana Menteri, satu portfolio telah diwujudkan khusus mengenai Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di Jabatan Perdana Menteri yang dipertanggungjawabkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili.

Katanya, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 9 September lalu telah bersetuju menubuhkan Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 yang dipengerusikan beliau.

“Majlis Khas ini akan turut dianggotai Ketua Menteri Sarawak, Ketua Menteri Sabah, Menteri-Menteri Persekutuan dan ahli-ahli lain yang akan dilantik mengikut kesesuaian, kelayakan dan bidang kepakaran masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Perutusan Khas sempena sambutan Hari Malaysia 2020 yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen RTM, hari ini.

Kata Muhyiddin, Majlis Khas tersebut akan membincangkan isu termasuk kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai Rakan Sekutu, hak negeri di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan Intergovernmental Committee, keselamatan negeri dan pendidikan.

“Saya berharap penubuhan ini akan dapat merungkaikan beberapa isu yang masih tertangguh berhubung hak dan kedudukan Sabah dan Sarawak selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Yang penting usaha untuk membangun dan memajukan kedua-dua negeri ini dapat diteruskan dan dipertingkatkan lagi dengan kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya. – Malaysiapost