PCS siasat semula projek IC jika bentuk kerajaan – Anifah

0
2

Foto: Facebook Anifah Aman

ISU Projek Kad Pengenalan (IC) yang sering diperkatakan di Sabah sejak sekian lama, akan disiasat semula menerusi penubuhan sebuah pasukan khas jika Parti Cinta Sabah (PCS) membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 26 September ini.

Itu antara janji ditawarkan PCS dalam teras kedua manifestonya yang menggariskan usaha ke arah mengukuhkan dasar keselamatan dalam negeri, sempadan, imigrasi dan hubungan luar.

Pasukan Khas itu akan dianggotai Ketua Menteri, Peguam Besar Sabah dan Pesuruhjaya Polis Sabah dengan hukuman berat yang setimpal melalui pendakwaan jenayah terhadap pihak terbabit.

Projek IC dikaitkan dengan pemberian kad pengenalan atau taraf kewarganegaraan secara tidak sah kepada warga asing di Sabah.

Perkara itu antara tiga aspek diberi perhatian oleh PCS dalam usaha mengatasi masalah pendatang asing tanpa izin yang terlalu lama berlarutan di Sabah.

Isu Projek IC terkandung dalam Teras Kedua manifesto PCS.

Aspek kedua ditekankan menerusi usaha itu ialah menghentikan serta-merta dokumen IMM13 kepada warga Filipina berstatus pelarian perang ketika berlaku perang saudara di selatan negara itu pada 1970-an.

Ketiga, mengambil langkah drastik bagi memansuhkan Sijil Banci dan Kad Burung-Burung, masing-masing dikeluarkan Pasukan Petugas Khas Persekutuan dan kerajaan negeri terdahulu kepada pendatang asing tiada dokumen di Sabah.

Menerusi teras sama, PCS menyatakan pendiriannya untuk tidak mengiktiraf selain menyangkal apa-apa tuntutan ke atas Sabah daripada mana-mana pihak, mahupun kuasa asing sebagai langkah mengatasi tuntutan ke atas Sabah daripada negara asing.

Ia ada kaitan dengan tindakan Filipina menghidupkan semula biro khas Borneo Utara dalam tuntutannya ke atas Sabah, selain memasukkan peta Sabah dalam pasport negara itu.

PCS menekankan penggunaan teknologi seperti Dron, kepintaran buatan (AI) dan data besar untuk memperbaiki sistem kawalan sempadan dan menyediakan peruntukan khas memproses trasformasi teknologi, selain untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D).

PCS juga akan menggesa kerajaan Persekutuan meningkatkan kualiti dan memperkasa jabatan serta agensi penguatkuasa seperti Maritim, Rela dan bomba di Sabah demi keselamatan, kesejahteraan dan kedaulatan negeri itu.

Pada masa sama, PCS akan mewujudkan Unit Pengurusan Risiko, Bencana dan Pelan Mitigasi Kecemasan Sabah bagi merangka dan melulus anggaran perbelanjaan lebih awal, bagi mempercepat penyaluran bantuan kecemasan kepada rakyat khususnya berkaitan bencana seperti gempa bumi, banjir, tsunami, kebakaran dan kemarau.

Secara keseluruhan, manifesto PCS mengandungi tujuh teras utama iaitu pembaharuan undang-undang; mengukuhkan dasar dan polisi keselamatan dalam negeri, sempadan, imigrasi dan dasar hubungan luar; pelan ekonomi progresif Sabah – ekonomi mapan, penjana kemajuan dan keempat, mengembangkan infrastruktur Sabah demi kesejahteraan rakyat.

Selebihnya ialah berkaitan pembangunan bandar, luar bandar, perumahan, hartanah dan pemeliharaan alam semulajadi; keusahawanan, kemahiran, sukan dan pendidikan dan yang ketujuh berkaitan badan bukan kerajaan (NGO), wanita dan masyarakat pinggiran.

Menerusi teras pertama, PCS menekankan janji berkaitan perjuangan tuntutan royalti minyak dengan menubuhkan Kementerian Industri Minyak dan Gas bagi memastikan pembayaran 10 peratus royalti kepada kerajaan Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perundingan Antara Kerajaan 1962 (IGC62).

Tidak ketinggalan, PCS menekankan pelaksanaan MA63 dan reformasi pilihan raya untuk menambah kerusi Parlimen di Sabah, menggunakan pendekatan undang-undang bagi menuntut hak yang termaktub dalam Perlembagaan dan MA63.

Mengulas mengenai manifesto itu, Presiden PCS, Datuk Seri Anifah Aman, berkata PCS menampilkan pilihan terbaik yang dapat memberi kelegaan dan sinar harapan kepada rakyat Sabah.

“Kita tidak mahu retorik atau bermain politik kempen pilihan raya sebaliknya jujur dalam memperjuangkan hak kita,” katanya.

Anifah yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan, berkata beliau akan menggunakan pengalaman sebagai wakil rakyat selama 22 tahun dan Menteri Luar untuk mengemudi Sabah ke arah lebih baik.

“Hasrat dan perjuangan PCS yang utama adalah memberikan rakyat kita sebuah kerajaan yang komited dalam membawa Sabah ke paras lebih tinggi melangkaui sempadan negeri,” katanya. – Malaysiapost