ENAM pelajar dan tujuh guru melibatkan tiga sekolah di Lahad Datu, Sabah disahkan positif Covid-19, kata Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Christina Rundi.
Beliau berkata, ia adalah kes ke-921, ke-922 dan 925 hingga ke-935 dan dikesan positif virus itu ketika pemeriksaan saringan kontak Kluster Benteng LD.
Bagaimanapun, katanya, semua kes sudah berada di bawah jagaan Hospital Lahad Datu.
Dr Christina berkata seramai 35 orang kena tahan (OKT) di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu disahkan positif Covid-19.
“Ia membabitkan 20 lelaki bukan warganegara dan 15 lelaki warganegara iaitu kes ke-882 sehingga 916,” katanya menerusi kenyataan.
Sementara itu, katanya, 937 kes direkodkan di Sabah setakat semalam.
Sebanyak 60 kes baharu dicatatkan di lima daerah iaitu Lahad Datu (54), Sandakan (3), Tawai (1), Kunak (1) dan Kota Kinabalu (1). – MalaysiaPost

