DUA sahabat maut selepas ditemui tidak sedarkan diri, dipercayai lemas karbon monoksida di kawasan parkir stesen minyak di Sama Gagah, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara, awal pagi tadi.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Sharifah Fariesha Syed Fathi dan Ayuni Shazwanie Shabri.
Dua rakan mereka yang juga pasangan kembar, Nor Adilah Mohd Safwan and Nor Aqilah dikatakan kritikal.
Kes dan gambar kejadian tular di media sosial hari ini kerana difahamkan mangsa berhenti rehat dan tidur dalam keadaan enjin serta penghawa dingin dihidupkan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisoner Shafee Abd Samad, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 1.40 pagi oleh pegawai perubatan Hospital Seberang Jaya (HSJ).
Katanya, empat sahabat itu yang berusia 21 tahun ditemui tidak sedarkan diri dalam Honda Odyssey yang parkir di kawasan stesen minyak terbabit.
“Sharifah Fariesha disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala tiga yang lain dikejarkan ke HSJ.
“Bagaimanapun, Ayuni Shazwanie menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di hospital,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Shafee berkata, berdasarkan maklumat awal mereka dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Sungai Petani dari Pulau Jerejak dekat sini. – Malaysiapost


