Kluster Selamat pula muncul di Sabah

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

KES baharu Covid-19 kekal dua angka hari ini iaitu 21 kes, merangkumi 16 kes tempatan dan lima kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Sabah merekodkan kes tertinggi iaitu lapan termasuk dua kes dari Kluster Benteng LD.

“Satu lagi kluster baharu dikenalpasti di negeri itu iaitu Kluster Selamat di Semporna.

“di Kedah terdapat tujuh kes hari ini termasuk enam dari Kluster Sungai,” katanya.

Mengenai Kluster Selamat, Dr Noor Hisham berkata ia membabitkan seorang wanita tempatan yang berusia 32 tahun.

“Beliau didapati positif Covid-19 pada 14 September 2020 ketika saringan kemasukan ke Hospital Tawau bagi kelahiran pramatang.

“Hasil saringan kontak rapat dan pengesanan kes secara aktif, satu lagi kes positif dikesan.

“Sehingga 17 September 2020, sejumlah 118 individu telah disaring dalam kluster ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata jumlah kes sembuh hari ini adalah15 kes, menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh 9,250.

Beliau turut memaklumkan tiada kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini dengan jumlah kumulatif kes kematian pandemik itu kekal 128.

Katanya, sehingga kini, terdapat 13 kes positif Covid- 19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana dua memerlukan bantuan pernafasan. – Malaysiapost