PRN Sabah: Adik TYT yakin tawan kubu kuat Musa Aman

0
1

DATUK Armani Mahiruddin, calon Parti Warisan Sabah (Warisan) yakin meraih kemenangan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 26 September ini.

Adik kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin itu juga menaruh keyakinan pengundi DUN itu yang sebelum ini kubu kuat bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, boleh menerimanya.

Armani ketika ditemui berkata, setakat ini kempen berjalan lancar dengan lima daripada sembilan Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang dikunjunginya menunjukkan sambutan menggalakkan daripada pengundi.

Katanya, beliau menumpukan kempen rumah ke rumah untuk mendekati pengundi.

“Alhamdulillah, kalau dari ‘house to house’, saya rasa kalau ikut peratus kita boleh sampai 70 (peratus penerimaan pengundi).

“Kita tidak mendahului Allah, tetapi Insya-Allah kita akan beroleh kemenangan (di kerusi Sungai Sibuga),” katanya selepas kempen di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tinosa di Sandakan hari ini.

Armani berkata, beliau mahu menumpukan usaha memperbaiki kemudahan infrastruktur dan rumah penduduk, selain menyediakan peluang pekerjaan kepada belia di DUN itu, jika diberi mandat oleh rakyat pada PRN ini.

Katanya, banyak lagi yang perlu diperbaiki di kawasan berkenaan biarpun ia disandang Musa sejak 1994.

“Kita tidak mahu pandang ke belakang. Kalau saya menang (dalam PRN), saya sudah ada rancangan untuk penduduk Sungai Sibuga,” katanya.

Pada 26 September ini, Armani berdepan empat pencabar termasuk bekas timbalan presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Mohamad Hamsan Awang Supain daripada Barisan Nasional (BN).

Tiga lagi calon daripada Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS). – Malaysiapost