Muhammad Mustakim Ramli
PENGOTOR, itulah rungutan penduduk Pandan Mewah, Ampang terhadap warga asing yang menguasai hampir 50 peratus kawasan perumahan berkenaan.
Walaupun tidak mengganggu penduduk tempatan, namun sikap sebahagian warga asing didakwa pengotor apabila hidup dalam persekitaran busuk dan meloyakan.
Tinjauan Malaysia Post mendapati, warga asing hidup selesa kawasan berkenaan, malah melakukan aktiviti bersukan seperti bermain sepak raga beramai-ramai.
Pada masa sama, mereka seolah-olah menguasai kawasan itu dengan turut menjalankan aktiviti peniagaan seperti membuka kedai runcit.
Penduduk yang mahu dikenali sebagai Iffah, 19, mendakwa cara hidup warga asing terutama dari Myanmar yang gemar mengunyah sireh dan kemudian meludah ke lantai menjadikan kawasan sekitar kotor.

“Masalah lain yang ditimbulkan mereka adalah kerap bergaduh sesama sendiri. Walaupun bergaduh dalam kalangan mereka ia juga menimbulkan suasana tidak selamat.
“Kita bimbang, suatu hari nanti apabila dibiar dan tidak ditangani, masalah akan menjadi lebih teruk dan mungkin mereka berani menganggu orang tempatan,” katanya.
Pendapat sama dikongsi Yunalis Ariffin, 54, yang mendakwa warga asing kerap bergaduh hingga menimbulkan suasana bising terutama pada waktu malam.

“Setakat ini tiada lagi kes jenayah membabitkan mereka di kawasan ini. Cuma sebagai penduduk kita perlu berhati-hati bagi mengelak kejadian tidak diingini.
“Masalah utama warga asing di sini yang menimbulkan rasa tidak selesa adalah sikap pengotor. Namun kita bersyukur selepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) jumlah mereka tidak ramai seperti dulu,” katanya.
Sementara itu, jururawat Hospital Ampang yang mahu dikenali Maria, mengakui berasa tidak selamat jika terpaksa meletakkan keretanya di luar hospital.
“Saya sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga. Setiap masa saya bawa payung untuk dijadikan senjata.
“Walaupun jarang saya parkir di luar hospital, saya masih perlu berjalan di luar untuk menghantar anak ke ‘transit’ jadi masih lagi membimbangkan,” katanya.

Pelajar, Adam Daniel Yep, 16, juga mengakui kurang selamat untuk ke sekolah setiap kali melalui kawasan berkenaan.
“Untuk orang dewasa mungkin tiada masalah, tetapi bagaimana dengan kanak-kanak.
“Kerajaan perlu melakukan sesuatu untuk mengelak perkara buruk dari berlaku kemudian hari,” katanya. – Malaysiapost








