Muhammad Mustakim Ramli
TUN Dr Mahathir Mohamad mengakui perasaan beliau bercampur-baur ketika pemasyhuran Malaysia oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Stadium Merdeka, 57 tahun yang lalu.
Mengimbas kembali detik itu, Dr Mahathir yang ketika itu berusia 38 tahun berkata, beliau bangga Persekutuan Tanah Melayu akan bersama Borneo Utara yang kemudian dikenali sebagai Sabah dan Sarawak serta Singapura yang akan bergabung membentuk Malaysia.
“Saya juga berdebar-debar kerana pembentukan itu mendapat tentangan hebat daripada beberapa negara jiran. Alhamdulilah hari ini sudah 57 tahun kewujudan Malaysia.
“Banyak yang kita lalui bersama. Sudah jauh kita melangkah,” katanya menerusi video yang dimuatnaik di laman sosial beliau, pagi tadi.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, walaupun Singapura kemudian keluar dari Malaysia namun keutuhan hubungan Semenanjung dan Sabah Sarawak bertambah kukuh dan terus bersemai.
“Memang benar dalam hubungan sebuah keluarga besar akan timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan kita dan ia perlu dinilai dan dicari satu titik pertemuan supaya hubungan kita tidak terlerai.
“Kerana itu kita menyokong permintaan supaya ‘Malaysia Agreement 1963’ atau yang kita kenali sebagai MA63 didokong sepenuhnya yang kita terima bahawa Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak adalah tiga wilayah yang bergabung sebagai rakan kongsi setara,” katanya.
Beliau juga melahirkan keyakinan jika semangat dan persetujuan yang dimeterai dahulu dapat dihayati dan dilaksanakan segala kemusykilan dapat dileraikan.
“Apabila ini tercapai sudah pasti kita boleh maju ke depan dengan langkah yang lebih gigih dan jitu.
“Selamat Hari Malaysia. Semoga Allah merahmati kita semua,” katanya. -Malaysiapost

