SUDAH tiba masanya universiti kedua di Sabah diwujudkan dengan memilih Sandakan sebagai lokasi.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang, berkata pengundi di Sandakan perlu menyokong visi calon DAP di kerusi DUN Elopura, Calvin Chong yang mahu sebuah universiti dibina di daerah itu.
Katanya, visi Chong itu mengingatkan seruan beliau kira-kira 30 tahun lalu supaya sebuah universiti dibina di negeri ini ketika tiada sesiapa pun terfikir untuk berbuat demikian.
“Kini kita mempunyai Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu. Masanya sudah tiba untuk universiti kedua dibina di Sabah.
“Justeru, pengundi di Elopura perlu mengundi Chong supaya beliau dapat merealisasikan visi ini dan anak muda dapat meneruskan pengajian tanpa perlu meninggalkan Sandakan,” katanya dalam sidang media di Sandakan, hari ini.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, Sabah adalah negeri terkaya di negara ini, namun mempunyai kadar kemiskinan tertinggi kerana ahli politik yang menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri sendiri, bukannya memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat jelata.
Katanya, DAP berpegang kepada prinsip politik bersih dan jujur serta komited melawan rasuah dalam segala bentuk.
“Dalam tempoh 22 bulan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas pilihan raya lalu, kami berjaya membawa kemajuan dalam melawan rasuah yang terbukti apabila negara ini mencapai tahap terbaik dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International (TI-CPI) tahun lalu.
“Dalam indeks ini, Malaysia berada di tempat ke-51 dengan markah 53, peningkatan enam mata dan 10 kedudukan dalam masa setahun,” katanya.
Kit Siang menambah, sejak penggulingan kerajaan PH melalui konspirasi ‘langkah Sheraton’ disusuli pembentukan kerajaan pintu belakang, usaha memerangi rasuah semakin berkurangan.
Katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga kini menjadi alat penindasan terhadap pemimpin pembangkang dan bukannya pejuang melawan rasuah.
“Jika kita berjaya mengekalkan momentum program anti rasuah yang dimulakan kerajaan PH, Malaysia mungkin masuk dalam kalangan 30 negara teratas menjelang 2030.
“Undian yang jelas dan kuat kepada Parti Warisan Sabah (Warisan) Plus dalam pilihan raya ini akan menjadi satu suara kuat untuk mengembalikan semula program anti rasuah,” katanya. -Malaysiapost

