TUJUH calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Plus melancarkan agenda gagasan mereka yang bertemakan ‘Sandakan berpadu, Sabah baharu’ mengandungi lima inisiatif dalam usaha membangunkan daerah itu.
Mereka adalah calon WARISAN di kerusi DUN Gum-Gum, Arunarsin Taib; Prof Dr Mahmud Sudin (Sungai Manila); Datuk Armani Mahiruddin (Sungai Sibuga); Alias Sani (Sekong) dan George Hiew (Karamunting).

Dua lagi adalah calon DAP di kerusi Tanjung Papat dan Elopura, masing-masing Datuk Frankie Poon dan Calvin Chong.
Dalam kenyataan bersama dikeluarkan di Sandakan hari ini, mereka berkata, gagasan itu adalah bertepatan dengan semangat perpaduan yang menjadi tema utama kempen Warisa Plus dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Agenda ini adalah kerangka yang didirikan atas nilai yang kita kongsi bersama sebagai rakyat biasa.
“Rakyat Sandakan berhak untuk mendapat khidmat dan manfaat terbaik daripada kerajaan dan ini boleh dicapai dengan menyatukan seluruh kekuatan serta tenaga politik, sosial dan ekonomi di setiap peringkat,” menurut kenyataan mereka.
Lima gagasan itu menggariskan usaha mewujudkan sebuah universiti penuh di daerah dalam usaha menangani kekurangan institut pengajian tinggi, sekali gus menyediakan peluang kepada rakyat tempatan melanjutkan pelajaran tanpa perlu ke tempat lain.
Selain itu, ia merangkumi usaha meningkatkan kesihatan awam dengan menambah bilangan doktor dan pakar untuk berkhidmat kepada hampir setengah juta penduduk daerah ini menerusi perkhidmatan lebih berkualiti dan kos yang rendah.
Agenda ketiga pula, adalah mewujudkan kualiti hidup rakyat yang lebih baik menerusi inisiatif pimpinan rakyat dan disokong oleh pemerintah dalam usaha membina sebuah bandar lestari dan seimbang.
Sementara dua lagi agenda adalah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan menambah baik sistem pengangkutan awam, sekali gus mengurangkan jurang antara bandar dan luar bandar. -Malaysiapost

