Pelitup muka tiruan dibimbangi jejaskan kesihatan

0
1

TERDAPAT segelintir pihak menjual pelitup muka tiruan serendah harga 50 sen sekeping di tepi jalan dan pasar malam.

Itu salah satu taktik pihak tidak bertanggungjawab bagi meraih keuntungan ‘segera’ dalam suasana negara dilanda pandemik Covid-19.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya menghidu taktik itu selepas mengesan tiga kes penjualan pelitup muka tiruan di sekitar Lembah Klang pada harga jauh lebih rendah berbanding harga pasaran.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, beliau bimbang dengan jenis bahan digunakan untuk membuat pelitup muka berkenaan, selain dikhuatiri menjejaskan kesihatan pengguna.

“(Pemakaian) pelitup muka berkait dengan pernafasan. Jika kita menggunakan pelitup muka tiruan, tentunya ia membahayakan (kesihatan), walaupun kita cuba mengelak terkena Covid-19, tetapi (kita bimbang) terkena penyakit lain,” katanya pada sidang media seperti dilaporkan Hmetro.

Beliau ditemui pada Program Jualan Malaysia (PJM) dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) di Khind – Mistral Industries Sdn Bhd, hari ini.

Rosol berkata, pihaknya sedang merancang untuk menguatkuasakan peraturan baharu bagi menangani isu penjualan pelitup muka tiruan.

“Maknanya kita mungkin akan buat satu peraturan cuma barangan (pelitup muka) bermutu sahaja yang dijual di pasaran.

“Kita sudah ambil tindakan yang betul iaitu (hanya) pelitup muka tiga lapisan yang diiktiraf sahaja dijual di pasaran.

“Selain itu, kita bekerjasama dengan Jabatan Kimia untuk mengenal pasti (bahan) yang digunakan dalam pembuatan pelitup muka terbabit,” katanya. 

-Malaysiapost