Ayah ‘Mowgli Malaysia’ lega kos tanam bangkai kerbau dibantu kerajaan

0
1

AYAH ‘Mowgli Malaysia’, Khamis Jusoh menarik nafas lega kerana kerajaan sudi membantu membiayai kos menanam bangkai kerbau milik keluarganya.

Katanya, dia perlu memperuntukkan lebih RM300 sehari untuk menyewa jengkaut bagi menanam bangkai kerbau di kandangnya itu.

“Saya berasa lega dan terharu apabila ada pihak yang tampil memberikan sumbangan bagi membiayai kos menanam bangkai kerbau.

“Sudahlah ditimpa musibah apabila banyak kerbau yang mati diserang penyakit, sekarang perlu gunakan wang simpanan pula untuk membiayai kos menguruskan semua bangkai itu.

“Selepas seminggu, akhirnya ada juga orang kenamaan yang hadir dan melawat kandang kerbau dan menghulurkan sumbangan. Sedikit sebanyak wang tunai yang disumbangkan itu membantu meringankan beban yang ditanggung,” katanya seperti dilapor BH.

Dia sebelum itu menerima kunjungan Ahli Parlimen Kuala Terengganu yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim di Kampung Kubang Bujuk.

Sementara itu, Ahmad Amzad berkata, beliau bersimpati dengan musibah yang menimpa Khamis dan keluarganya. 

Beliau difahamkan kos menanam bangkai kerbau itu agak tinggi, oleh itu sumbangan segera diberikan kepada Khamis ketika pertemuan hari ini.

“Saya akan berhubung dengan Pejabat Daerah Kuala Terengganu sekiranya boleh menyediakan kemudahan jengkaut di kandang kerbau itu.

“Keutamaan sekarang ialah memastikan kerbau ternakan keluarga ini tidak keluar dari kandang dan tidak bercampur dengan haiwan peliharaan penternak lain,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Alor Limbat, Ariffin Deraman, pula berkata kerajaan negeri juga akan menyalurkan bantuan melalui Tabung Bencana untuk meringankan urusan keluarga itu.

Setakat pagi tadi, 50 kerbau milik Khamis mati termasuk ‘Semek’, yang paling disayangi anaknya Muhammad Syukur.

Syukur mula terkenal apabila gambar-gambar yang menampilkan kemesraannya dengan lebih 100 kerbau peliharaan keluarganya tular, selain gambar itu turut tersenarai sebagai antara 20 yang terbaik dunia. -Malaysiapost