Ingkar PKP: 66 individu dikompaun

0
1

Nurul Huda Abhar

SERAMAI 66 individu dikompaun manakala dua lagi direman selepas didapati mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menjadi penyumbang tertinggi dengan 21 orang dikenakan tindakan.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP lain termasuklah gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (18), tidak memakai pelitup muka (18), penjarakan fizikal (6), gagal melunaskan bil kuarantin (3) serta tangkapan pendatang asing tanpa izin (2).

“Pihak berkuasa telah membuat pemantauan di 15,839 kawasan termasuk pasar raya, restoran serta penjaja, kilang, bank dan pejabat kerajaan.

“Juga dipantau, sebanyak 1,094 terminal pengangkutan darat, 215 terminal pengangkutan air serta 107 terminal pengangkutan udara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, Operasi Benteng semalam berjaya menangkap 120 pendatang asing tanpa izin dan dua tekong. 

“Turut dirampas tiga  kapal dan bot serta empat kenderaan darat,” katanya. 

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 29,438 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 72 hotel dan lapan premis lain di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 9,737 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 71 lagi telah dihantar ke hospital untuk rawatan. 

“Seramai 19,630 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang,” katanya. -Malaysiapost