SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan laporan pihaknya memanggil 50 pekebun durian semalam, berhubung siasatan kes pencerobohan tanah kerajaan negeri di Raub.
Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Azam Baki, bagaimanapun mengesahkan kertas siasatan kes itu sudah pun dibuka SPRM Pahang dan pihaknya akan melihat isu berkaitan salah guna kuasa berhubung penerokaan tanah secara haram yang didakwa berlaku.
“(Pekebun dipanggil) itu tidak betul, tidak tahulah siapa yang buat cerita.
“Setakat semalam, saya dilaporkan tidak ada panggilan kepada pekebun ini. Ini dilaporkan media tertentu, jadi saya sahkan kita belum ada lagi memanggil 50 pekebun ini,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Semalam, media melaporkan seramai 50 pekebun durian yang menjalankan operasi kebun mereka tanpa permit dipanggil ke pejabat SPRM Raub bagi memberi keterangan mengenai siasatan kes berkenaan. -Malaysiapost.

