Kandang kerbau keluarga ‘Mowgli Malaysia’ kini kawasan larangan

0
2

KANDANG kerbau milik keluarga Muhammad Syukur Khamis atau ‘Mowgli Malaysia’ di Kampung Banggol Katong dekat Serada di Kuala Terengganu, diisytiharkan sebagai kawasan larangan kepada orang ramai.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu, Dr Mohd Termizi Ghazali, berkata langkah itu dikuatkuasakan mengikut Akta Binatang 1953 (Akta 647) yang hanya membenarkan pemilik kandang memasuki kawasan tersebut, bagi mengelak jangkitan penyakit hawar berdarah ke kawasan lain.

“Ini prosedur operasi standard (SOP) jabatan dalam memastikan tiada sebarang pergerakan keluar masuk orang ramai atau kenderaan ke kandang tersebut kerana ia mendatangkan risiko jangkitan kepada haiwan ternakan di kawasan lain.

“Kandang ini ditutup berkuat kuasa hari ini sehingga masalah wabak hawar berdarah ini selesai,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Sementara itu, Muhammad Syukur berkata, lima lagi kerbaunya mati pagi ini, manakala enam dikesan mempunyai simptom yang agak kritikal.

“Pagi tadi lagi sedih sebab saya nampak ada anak kerbau yang baru berusia sebulan masih menyusu dari ibunya yang sudah mati….tak tahu macam mana nak gambarkan perasan sedih dan sebak tu.

“Buat masa sekarang, kami berharap sangat dapat cari jalan untuk selamatkan kerbau yang masih sihat,” katanya.

Bapa Muhammad Syukur, Khamis Jusoh, 64, berkata dia buntu bagaimana hendak mengasingkan kerbau yang masih sihat seperti disarankan JPV Terengganu kerana kekangan tempat dan masa.

“Sukar untuk saya kuarantin kerana tiada tempat sesuai, tambahan pula ini kandang terbuka….kerbau ini pula tidak boleh terdedah dengan cuaca panas, ia akan tetap merempuh pagar yang ada untuk pergi ke kawasan sawah berdekatan.

“Saya berharap sangat agar kerbau yang masih sihat ini boleh diselamatkan dengan kepakaran dan kemahiran JPV, namun sekiranya tidak (berlaku lebih banyak kematian), saya reda dengan takdir Allah,” katanya.

Semalam, media melaporkan lebih 35 kerbau milik keluarga ‘Mowgli Malaysia’ itu, mati secara berperingkat sejak Rabu lepas dipercayai akibat penyakit hawar berdarah. – Malaysiapost.