Kadar elaun petugas masjid, surau dikembalikan pada kadar asal

0
1

KERAJAAN Selangor hari ini memutuskan kadar elaun petugas masjid dan surau dikembalikan kepada kadar sebelum ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerajaan negeri akan menanggung pelarasan tersebut dengan implikasi kewangan berjumlah RM3 juta.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas menerima taklimat Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) berhubung isu pelarasan elaun petugas masjid dan surau yang tular.

“Saya difahamkan elaun tambahan petugas masjid ini yang dibayar bermula 2003 adalah dari hasil kutipan zakat oleh LZS setiap tahun.

“Namun akibat kesan pandemik Covid-19, kutipan zakat tahun ini mencatatkan penurunan drastik hampir 20 peratus yang menyebabkan beberapa pelarasan sementara perlu dibuat.

“Ia mengambil kira keperluan menyalurkan hasil kutipan zakat ini kepada golongan asnaf yang tambah dihimpit akibat kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sebagainya,” katanya menerusi kenyataan.

Amirudin berkata, berdasarkan penjelasan tersebut dan mengambil maklum keperluan petugas masjid dan surau seluruh Selangor, kadar elaun berkenaan dikembalikan kepada kadar sebelum ini.

Terdahulu, Wira Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menggesa Menteri Besar Selangor bertimbang rasa terhadap Ahli jawatankuasa (AJK) masjid di Selangor ekoran dakwaan pelaksanaan pemotongan elaun 40 hingga 60 peratus.

Ia berikutan, kesan daripada hasil kumpulan wang zakat yang turun 31 peratus seperti yang dinyatakan oleh Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf Lembaga Zakat Selangor.

Ketua Wira Putra, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, ia bukan alasan kukuh bagi melakukan pemotongan elaun berkenaan.

“Daripada elaun asal kadar Bilal sebelumnya RM290 dikurangkan kepada RM140, manakala Nazir daripada RM250 kepada RM100.

“Potongan ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada jawatankuasa masjid yang tidak mempunyai sumber pendapatan lain.

“Ada dalam kalangan mereka hanya menumpukan tugas di masjid dan menyara hidup berdasarkan elaun tersebut,” katanya. – Malaysiapost