PERIHAL kedaulatan Sabah bukan perkara yang boleh dipermainkan dan tidak seharusnya dijadikan sandiwara politik.
Pengerusi Tetap Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Liew Vui Keong, berkata kenyataan terbaharu Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussien, seolah-olah mengelak menyelesaikan secara diplomatik tuntutan Sabah oleh Filipina.
Katanya, kenyataan itu sekali gus memberi kesan ke atas penerimaan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Tuntutan menjadikan Sabah sebahagian daripada peta pasport Filipina tidak akan berlaku sekiranya Hishamuddin benar-benar menjalankan tugas.
“Sebagai Ahli Parlimen dari Sabah, saya tidak akan membawa usul tergempar di Dewan Rakyat sekiranya isu ini ditangani dengan cepat dan bijak oleh Wisma Putra,” katanya dalam kenyataan di Sandakan hari ini.
Hishammuddin dalam kenyataan hari ini menyatakan kecewa apabila Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mencadangkan kerajaan Malaysia berunding dengan Filipina.
Hishammuddin menerusi hantaran itu berkata, tiada sebab untuk berunding dengan kerajaan Filipina kerana tuntutan itu bukan saja tidak berasas, malah tidak relevan.
Vui Keong yang juga Pengarah Pilihan Raya Warisan Plus berkata, ketidakcekapan Hishammuddin dalam isu berkenaan dilihat jalan pintas untuk mengalih kelemahan beliau kepada Mohd Shafie.
Katanya, Hishammuddin sepatutnya mendapatkan gambaran jelas
daripada timbalannya yang menjelaskan isu berkenaan dalam Sesi Kamar Khas pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat lalu.
“Menuding jari kepada Mohd Shafie adalah ‘alternatif terbaik’ beliau (Hishamuddin) bagi menutup kelemahan kepimpinan sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal kedaulatan Malaysia.
“Ia hanya mengeruhkan lagi keadaan,” katanya sambil menambah rakyat Sabah sudah bosan dengan sikap pemimpin tertentu dalam kerajaan Pusat yang berterusan mempolitikkan isu kedaulatan negeri ini kerana mahu meraih sokongan.
Vui Keong berkata, campur tangan Putrajaya dalam perihal pentadbiran Sabah serta pengambilan hak ke atas sumber asli negeri ini juga harus dihentikan.
Vui Keong turut mencadangkan Hishammuddin menyerahkan jawatannya kepada pegawai diplomat yang lebih layak jika enggan melaksanakan tugas beliau dalam isu berkaitan konflik diplomasi. – Malaysiapost

