PRN Sabah: Hajiji paling sesuai jadi Ketua Menteri

0
2

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata Hajiji memenuhi kriteria diperlukan untuk menerajui negeri berdasarkan pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini.

“Saya mendengar dengan tekun semua ucapan beliau (Hajiji) dan sememangnya beliau layak untuk diangkat sebagai Ketua Menteri Sabah pada 26 September nanti.

“Ini bukan pandangan saya seorang, malah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berada di Sabah beberapa hari lalu juga membuat kenyataan sama berdasarkan keperibadian, watak dan khidmat kepada rakyat selama ini,” katanya pada Majlis Ramah Mesra dan Rapat Umum Pemimpin Bersama Rakyat di Tuaran.

Mohamed Azmin berkata, khidmat calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman itu selama hampir tujuh penggal cukup membuktikan pengalaman luas dimilikinya.

“Mungkin bagi kita generasi muda, tempoh itu memang panjang tetapi bagi saya rakyat khususnya di kawasan ini masih memerlukan khidmat beliau sebagai wakil rakyat untuk tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Sementara itu, beliau menyifatkan PRN kali ini unik kerana sebuah kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat sebelum ini ‘runtuh’ tidak sampai satu penggal pemerintahan.

“Pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, rakyat memberi mandat kepada kerajaan baharu dipimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) tetapi baru dua tahun rakyat kembali bangkit.

“Datuk Seri Mohd Shafie Apdal juga telah hilang majoriti di DUN untuk menjadi Ketua Menteri,” katanya.

Mohamed Azmin turut menyatakan komitmen berterusan kerajaan Pusat untuk melaksanakan perkara terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Tan Sri Muhyiddin sebaik menjadi Perdana Menteri, antara agenda pertama yang beliau mahu selesaikan ialah MA63 kerana ia adalah hak orang Sabah dan Sarawak,” katanya. – Malaysiapost