Isu ceroboh tanah: Samka maklum pekebun musang king dipanggil SPRM

0
1

KIRA-kira kira 50 pekebun durian tidak berlesen di Raub, Pahang telah dihubungi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan pencerobohan tanah di sekitar daerah itu.

Perikatan Selamatkan Musang King (Samka) mendakwa pekebun pekebun tanpa geran dari Raub dihubungi melalui talian atau lawatan ke rumah.

Katanya, mereka diberi notis untuk memberi keterangan di SPRM mengikut kumpulan.

“Samka berasa terkejut dengan tindakan SPRM yang memanggil pekebun untuk memberi keterangan secara besar-besaran.

“Tindakan ini akan menakutkan pekebun, memberi tekanan dan turut menyebabkan mereka akur dengan perjanjian berat sebelah korporat,” kata pertubuhan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Samka, tindakan SPRM itu dilihat kurang profesional dan membawa unsur penyalahgunaan kuasa, sekali gus membantu pihak syarikat yang terlibat untuk memberi tekanan kepada mereka.

Susulan itu, pihaknya telah melantik peguam untuk mengiringi pekebun yang dipanggil ke SPRM di Raub untuk disoal siasat mulai jam 10 pagi tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, SPRM dalam satu kenyataan menafikan perkara tersebut dan berkata pihaknya tidak pernah memanggil mana-mana pekebun untuk memberi keterangan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, setakat ini SPRM telah membuka kertas berhubung siasatan kes itu.

“SPRM akan melihat kes ini jika ada isu lain berhubung rasuah dan salah guna kuasa berkaitan penerokaan tanah secara haram,” katanya ketika hadir Forum Korporat Liabiliti, di Kuala Lumpur, hari ini. – Malaysiapost