Mencuri dan berkelakuan tidak senonoh, Alif Aziz dipenjara, denda

0
1

PENYANYI dan pelakon, Alif Aziz dipenjara dua minggu dan denda 500 dolar Singapura (SGD) hari ini kerana mencuri dan berkelakuan tidak senonoh di khalayak ramai.

Pada 7 Ogos lalu, Alif mengaku salah atas dua pertuduhan tersebut di Mahkamah Tinggi Singapura.

Memetik laporan Mstar, menerusi kertas pertuduhan yang dibaca, Alif didakwa mencuri wang sebanyak SGD300 (RM915) dan 1 juta rupiah (RM285) milik seorang pelakon dan ahli politik Indonesia.

Timbalan Pendakwa Raya, Sarah Siaw berkata, Alif mengakui telah mencuri wang tunai berkenaan kerana memerlukan wang.

Alif menggunakan wang tersebut untuk membeli makanan dan pengangkutan.

Bagi pertuduhan kedua, Alif didapati mabuk di bawah jambatan pusat beli-belah Orchard Tower sekitar jam 5.30 pagi pada 10 November tahun lalu.

Ketika kejadian, Sarjan Theodore Lee, 24, meminta Alif untuk bertenang dan dia mematuhi sebelum beredar namun kembali semula sekitar sejam melakukan aksi tidak senonoh, menjerit dan memberi isyarat menggunakan tangan di tempat awam.

Nafas Alif ketika itu, berbau arak dan kemudiannya enggan memberikan kerjasama dan terus mencetuskan kekecohan.

Sebelum itu, nama Alif menjadi perhatian ramai tahun lalu kerana isu curang kepada isterinya, Bella Astillah.

Bagaimanapun, pasangan itu yang bercerai pada 16 Mei, kembali rujuk dalam tempoh edah. – Malaysiapost