PRN Sabah: Rafizi kembali aktif politik?

0
1

BEKAS Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang sebelum ini mengumumkan meninggalkan dunia politik, berada di Sabah bagi membantu kempen calon PKR pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Ia berdasarkan hantaran calon PKR kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook, Raymond Ahuar di Facebooknya pagi tadi mengenai kehadiran Rafizi di Sook.

Menerusi hantaran itu, Raymond berkata, Rafizi sempat memberi kata-kata semangat dan nasihat kepada jentera parti itu.

“Menerima kunjungan sahabat baik yang saya anggap seperti abang saya sendiri, Yang Berbahagia Saudara Rafizi Ramli, Naib Presiden Keadilan di Pejabat Cabang Pensiangan.

“Beliau sempat memberikan kata-kata semangat serta sedikit nasihat kepada jentera DUN N45 Sook,” katanya.
Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan bila Rafizi tiba di Sook.

Tahun lalu, Rafizi menyatakan hasratnya meninggalkan politik untuk beralih ke bidang teknologi berkaitan internet.

Kerusi Sook dalam Parlimen Pensiangan adalah antara tujuh DUN ditandingi PKR pada PRN ini.

Enam lagi ialah Api-Api, Tempasuk, Tamparuli, Klias, Matunggong dan Inanam.

Di Sook, Raymond berdepan saingan lima penjuru menentang calon Star, Parti Bersatu Rakyat Sabah, Parti Liberal Demokratik dan Parti Cinta Sabah. – Malaysiapost