Foto Kredit: Berita Harian
TINDAKAN bekas Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Paginatan, Datuk Dr Othman Minuddin yang dilaporkan keluar parti, dipercayai kerana kecewa selepas ‘orang pilihan’ tidak menjadi calon.
Naib Ketua Bahagian PBS Paginatan, Faustian Thomas, berkata Othman dan sekutunya mahu Timbalan Ketua Bahagian, Juis Konsuling dicalonkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Beliau berkata, bagaimanapun kepemimpinan PBS menamakan seorang Ahli Majlis Tertingginya, Arthur Sen untuk dicalonkan di Paginatan.
“Tindakan Othman itu bertentangan dengan kenyataannya sebelum ini yang menjelaskan akan mematuhi apa saja keputusan parti.
“Ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Bahagian, Pemuda dan Wanita pada bulan lalu Othman menyokong keputusan kepemimpinan induk dalam hal pemilihan calon bagi mewakili parti itu di PRN.
“Malah kenyataan media mengenai keputusan mesyuarat itu disiarkan pada 25 Ogos lalu yang menyatakan PBS DUN Paginatan mahu bertanding pada PRN kali ini, dan akan menyokong calon yang dipilih oleh parti.
“Namun, apabila pucuk pimpinan parti meletakkan Arthur bertanding di DUN itu, Othman dan beberapa ahli jawatankuasa induk, wanita dan pemuda bertindak meninggalkan parti dan menyertai Parti Solidariti Tanah Airku (STAR),” katanya dalam kenyataan, di Ranau.
Bagaimanapun, katanya tindakan Othman itu tidak menjejaskan jentera pilihan raya PBS Paginatan.
“Calon kami dipilih berdasarkan kajian yang dilakukan di kalangan akar umbi dan kita percaya beliau adalah pilihan terbaik untuk memenangi kerusi itu.
“Kami akan bertemu dengan pucuk pimpinan parti dalam masa terdekat untuk merujuk tindakan seterusnya,” katanya.
Sebelum ini Othman bersama beberapa ahli jawatankuasa bahagian menemui Presiden STAR Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan calon Perikatan Nasional (PN) daripada STAR, Datuk Abidin Madingkir untuk menyatakan sokongan kepada parti itu.
PBS juga adalah sekutu PN pada PRN kali ini tetapi parti itu banyak bertembung dengan kerusi Star menyebabkan mereka terpaksa bersaing sesama sendiri selain parti lawan. – Malaysiapost

