Kawalan pematuhan SOP ditingkatkan di Tawau, Lahad Datu

0
1

Nurul Huda Abhar

KERAJAAN tidak menolak kemungkinan mewujudkan pasukan khas untuk memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh berkempan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia melibatkan kawasan yang mempunyai peningkatan kadar jangkitan Covid-19 yang tinggi seperti Tawau dan Lahad Datu.

“Dari segi kawalan tentang pematuhan itu memang sentiasa ada. Pihak polis sentiasa mengawal dan memantau setiap kawasan di Sabah.

“Ada sekatan jalan raya, di Tawau dan Lahad Datu akan tingkatkan polis dan agensi lain. Ia juga melibatkan kawasan sempadan antara Tawau dan daerah lain. Setakat ini memang dah ada bukan tidak ada kawalan langsung,” katanya pada sidang media Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Beliau berkata, sehingga semalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyaring 3,981 individu di Tawau dan 1,421 di Lahad Datu.

Tambahnya, daripada jumlah itu, seramai 331 kes positif direkodkan di Tawau dan 89 kes positif di Lahad Datu.

Daripada 331 kes positif di Tawau, 305 kes merupakan banduan. Manakala daripada 89 kes positif di Lahad Datu pula 86 daripadanya merupakan orang kena tuduh (OKT) di lokap.

“Ini menunjukkan penularan jangkitan masih terkawal. Kerajaan masih belum buat keputusan untuk melaksanakan PKPD kerana ia melibatkan lebih 511,00 penduduk di Tawau dan 266,00 di Lahad Datu.

“KKM akan membuat saringan secara bersasar melibatkan 25,000 individu di Tawau dan 13,000 individu di Lahad Datu,” katanya. – Malaysiapost