Calon WARISAN DUN Sekong, Alias Sani (kanan) bersama peguamnya, Douglas Lim menunjukkan laporan polis yang dibuat bagi meminta tindakan undang-undang diambil terhadap pemilik akaun YouTube, Jufazli Ahmad.
CALON Parti Warisan Sabah (Warisan) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong, Alias Sani membuat laporan polis susulan dakwaan beliau terbabit dengan kumpulan pengganas.
Dalam sidang media di Sandakan hari ini, Alias yang ditemani peguamnya, Douglas Lim memberitahu beliau membuat laporan polis terhadap pemilik akaun YouTube, Jufazli Ahmad pada jam 4 petang semalam di Balai Polis Bandar Sandakan.
Alias mendakwa, dalam video itu, Jufazli berunsur fitnah apabila menuduh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mencalonkan pengganas dalam PRN, selain mendakwa Alias mengaku ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana terlibat dalam kumpulan Jemaah Islamiah (JI) pada 1990-an.
“Saya sekali lagi menafikan sekeras-kerasnya pembabitan saya dalam kumpulan pengganas dan saya fikir adalah penting bagi kita rakyat Malaysia terutama di Sabah, fokus kepada agenda rakyat mengangkat kepentingan rakyat melalui PRN.
“Saya buat laporan polis untuk membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap penyebar cerita yang tidak benar yang dimuatkan dalam YouTube,” katanya.
Alias berkata, usaha pihak tertentu menabur fitnah itu bagaimanapun tidak akan menjejaskan kempennya, sebaliknya menguatkan lagi semangatnya untuk memenangkan Warisan di kerusi itu.
Beliau juga meminta rakyat agar tidak mempercayai tuduhan liar dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab ke atasnya.
Alias juga berazam membantu nasib mangsa kebakaran di Kampung Gas, Batu Sapi yang sehingga kini terpaksa mendiami rumah kontena kerana belum memiliki rumah jika diberi peluang menjadi wakil rakyat pada PRN ini.
“Memang kerajaan ingin mewujudkan perkampungan Kampung Gas yang baru, namun prosesnya ada beberapa tahap.
“Di sinilah signifikan jika saya dipilih. Saya akan pastikan berusaha bersungguh-sungguh agar nasib mereka dapat dibela,” katanya. – Malaysiapost

