Kenyataan Shafie Apdal beri asas kepada tuntutan Filipina – Najib Razak

0
2

Fitri Nizam

PRESIDEN Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal membuat kesilapan silap besar apabila kenyataannya untuk membuka pintu rundingan dengan Filipina memberi asas terhadap tuntutan negara itu terhadap Sabah.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata tindakan Mohd Shafie itu hanya akan memberi masalah berpanjangan kepada Sabah dan Malaysia.

“Pada 28 Ogos, dia (Shafie Apdal) tiba-tiba keluarkan kenyataan mahu rundingan dengan Filipina dilakukan untuk menyelesaikan tuntutan mengambil Sabah.

“Bila dia kata demikian, Shafie telah memberi asas (atau legitimacy) kepada tuntutan Filipina ini,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Bekas Presiden Umno itu berkata, kenyataan Ketua Menteri Sabah itu adalah perkara paling asas dalam diplomasi.

“Tapi dia buat salah pula – entah dengan sengaja atau tidak. Shafie tak faham bahawa bila Ketua Menteri secara rasminya sebut boleh runding maksudnya ada ruang untuk “settle” dengan pelbagai pampasan lain yang boleh dituntut oleh mereka.

“Boleh bincang maksudnya boleh settle, kan?,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, kerajaan BN tak pernah melayan mahu pun berunding tentang tuntutan rasmi Filipina sehingga tahun 1970-an.

“Kerana kita tidak merestui tuntutan itu. Sepanjang tempoh sembilan tahun saya jadi Perdana Menteri, kerajaan Filipina tak pernah bangkitkan isu tuntutan Sabah ini. Yang tuntut cuma keluarga Kiram.

“Tak sampai tiga hari selepas Shafie buat kenyataan mengejut (serta tak pandai) itu, kerajaan Filipina umum mereka akan buka semula pejabat kerajaan (yang telahpun tutup lebih 30 tahun) untuk tuntut Sabah secara rasmi.

“Kesan dari pembukaan semula pejabat Filipina ini akan menyebabkan pelbagai pergaduhan, masalah dan ancaman keselamatan kepada negara bagi jangkamasa panjang yang akhirnya akan merugikan Sabah dan Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein meluahkan rasa kecewa terhadap kenyataan Shafie yang dilaporkan Berita Harian pada 28 Ogos lalu.

“Berunding dengan Filipina bermaksud kita iktiraf tuntutan mereka ke atas Sabah, kita tidak akan berunding. Sabah milik Malaysia!,” katanya. – Malaysiapost