Bersatu Terengganu setuju PAS dapat lebih kerusi

0
2

Fitri Nizam

BELUM ada rundingan di peringkat negeri berhubung pembahagian kerusi di Terengganu, kata Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Senator Datuk Razali Idris.

Bagaimanapun, beliau berkata, pada dasarnya Bersatu Terengganu bersetuju PAS mendapat lebih kerusi di negeri itu.

“Bersatu Terengganu hanya bercadang untuk mendapatkan lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja.

“Lapan kerusi itu merangkumi satu kerusi DUN di setiap Parlimen di negeri itu. Rasanya tidak melampau (permintaan itu),” katanya ketika dihubungi Malaysiapost, hari ini.

Razali berkata, untuk kerusi Parlimen pula, Bersatu Terengganu bercadang untuk meminta dua kerusi sahaja di negeri itu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai parti itu akan mendominasi kerusi di tiga negeri iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said ketika dihubungi berkata beliau perlu meneliti lebih lanjut berkenaan kenyataan Presiden PAS itu.

“Saya kena kaji dulu… lagi dua tiga hari saya keluarkan kenyataan,” katanya. – Malaysiapost