Tiga tahun tragedi: Wartawan sangka kes kebakaran biasa

0
2

Safeek Affendy Razali

Oleh Muhammad Mustakim Ramli

WARTAWAN pertama yang tiba di lokasi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah, hampir tiga tahun lalu tidak menyangka kejadian yang disangka kecil pada awalnya itu sebenarnya mengorbankan 23 nyawa.

Mengimbas detik itu, Safeek Affendy Razali, wartawan meja jenayah Berita Harian, dalam perjalanan ke tugasan di Sungai Buloh sebelum menerima panggilan dari rakan di Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memaklumkan kejadian berkenaan.

Katanya, lokasi kejadian yang tidak jauh dari rumahnya mendorong beliau singgah untuk melihat situasi kejadian sekitar jam 6.30 pagi.

“Pada awalnya saya tak sangka ada kematian tetapi anggota APM dan kemudian bomba mengesahkan perkara yang sama.

“Saya maklum pada bos di BH sebelum saya diminta untuk terus kekal di situ. Sekitar 7.30 pagi maklumat awal yang diterima dari pihak berkuasa kematian di pusat tahfiz berkenaan membabitkan lebih 20 orang,” katanya ketika ditemui Malaysia Post.

Tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah, hampir tiga tahun lalu amat menyedihkan Safeek sepanjang bergelar wartawan.

Safeek berkata, dia tidak mengesyaki apa-apa ketika awal kejadian dan beranggapan hanya kebakaran biasa, namun selepas berjumpa pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, terdapat unsur khianat dalam kes berkenaan.

Katanya, kedudukan tong gas yang berada di tempat yang tidak sepatutnya menyebabkan polis mengesyaki terdapat elemen jenayah dalam kebakaran itu.

“Hari kedua, polis membawa remaja ke lokasi kejadian dalam keadaan bergari, di mana mencetuskan tanda tanya dalam kalangan pengamal media.

“Segalanya terungkai apabila Ketua Polis Kuala Lumpur membuat sidang media dan mengesahkan terdapat perbuatan khianat dan bukannya kerana litar pintas seperti kebakaran biasa. Susulan itu beberapa tangkapan dilakukan,” katanya.

Safeek atau lebih dikenali dengan panggilan Along berkata, kejadian itu sangat menyedihkan sepanjang pengalamannya bergelar wartawan.

“Ia memilukan… kejadian tidak akan berlaku jika tiada niat seseorang untuk membunuh atau cuba membunuh.

“Remaja ini tidak tahu tindakan mereka membabitkan banyak nyawa terkorban,” katanya.

Katanya, kejadian itu mengajarnya untuk bersabar; bersikap rasional dan tidak bertindak mengikut perasaan.

Semalam, genap tiga tahun tragedi itu yang mengorbankan 23 penghuni pusat tahfiz berkenaan, sebahagian besarnya adalah pelajar. – Malaysiapost