PERSEKUTUAN Badminton Dunia (BWF) memutuskan menunda saingan Piala Thomas/Uber 2020 yang dijadual berlangsung di Aarhus, Denmark pada 3 hingga 11 Oktober ini.
BWF dalam kenyataan hari ini, berkata keputusan itu dibuat selepas penarikan diri beberapa negara daripada kejohanan berpasukan itu.
“BWF sedang mengenal pasti tarikh alternatif bagi penjadualan semula kejohanan berpasukan lelaki dan wanita dunia ini tetapi pada tarikh tidak lebih dari 2021,” kata kenyataan itu seperti dilapor Berita Harian.
Sebelum ini, lima negara mengesahkan menarik diri daripada kejohanan di Aarhus iaitu Taiwan, Australia, Thailand, Korea Selatan dan Indonesia kerana bimbang dengan pandemik COVID-19 yang masih belum reda di seluruh dunia.
Bagaimanapun, badan induk dunia itu memaklumkan saingan Terbuka Denmark di Odense tetap akan berlangsung seperti dijadualkan bermula 13 hingga 18 Oktober ini. -Malaysiapost

