CALON Parti Warisan Sabah (Warisan) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong, Alias Sani mahu membuktikan beliau bukan ‘pengganas’ jika diberi peluang mewakili kawasan itu.
Ia susulan gambar yang tular sejak semalam mendakwa Alias pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan merupakan ahli kumpulan Jemaah Islamiah (JI).
Alias ketika ditemui berkata, beliau pernah ditahan pada 2003 sebelum dibebaskan pada 2007, namun tidak pernah dibuktikan kesalahan jenayah.
Katanya, beliau ditahan kerana disangka boleh mengancam keselamatan apabila sering bersedekah dan ikut mengaji dengan orang tertentu dengan sumbangan disalah tafsir digunakan untuk aktiviti tidak baik.
“Isu ini sudah lama dan tiada kaitan jenayah. Saya tidak menyokong keganasan, apa pun namanya, apa pun bangsanya.
“Saya orang Islam yang cinta kepada perdamaian,” katanya selepas merasmikan gelanggang bola tampar di Kampung Bokara di Sandakan hari ini.
Alias adalah pengasas Sekolah As-Salam iaitu sekolah swasta Bumiputera di daerah itu.
Alias berkata, beliau menyertai politik kerana mahu menawarkan nilai baharu kepimpinan politik kepada rakyat.
Katanya, ramai pemimpin seperti Mohamad Sabu, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menjadi ‘alumni ISA’ dan akhirnya memberi sumbangan kepada negara melalui peranan dalam politik.
“Ini yang saya buat sekarang. Ini (menyertai politik) hak saya yang dijamin Perlembagaan.
“Saya harap pengundi Sekong beri peluang kepada saya mewakili rakyat dan saya akan buktikan saya bukan pengganas,” katanya. – Malaysiapost


