Majoriti kerusi di Terengganu, Kelantan dan Kedah milik PAS – Hadi

0
2

MAJORITI kerusi di Terengganu, Kelantan dan Kedah akan ditandingi PAS, kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, isu pengagihan kerusi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam kalangan parti Perikatan Nasional (PN) setakat ini sudah banyak diselesaikan.

Bagaimanapun, katanya, jumlah sebenar kerusi akan ditandingi parti itu masih belum dimuktamadkan.

“Soal pengagihan kerusi sedang dibincangkan dan setakat ini banyak yang selesai. Berapa jumlah kerusi yang akan dapat belum dimuktamadkan lagi memandangkan tarikh pilihan raya juga belum diumumkan.

“Namun, untuk tiga negeri iaitu Kedah, Terengganu dan Kelantan, majoriti kerusi ditandingi oleh PAS.

“Setakat ini, kita berpuas hati kerjasama yang terjalin dengan BN dan Bersatu,” katanya pada sidang media sempena Muktamar Tahunan PAS ke-66, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Marang itu berkata, PAS tetap menurunkan jentera bagi membantu rakan sekutunya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah walaupun parti itu tidak meletakkan calon.

“PAS akan membantu sebaik mungkin bagi memastikan calon Barisan Nasional (BN) dan Bersatu menang.

“Perlu diketahui, walaupun kita tidak bertanding, kita boleh terbabit dalam jentera kerajaan,” katanya. – Malaysiapost