SERAMAI 87 individu termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Benteng di Sungai Nipah Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu 80 adalah PATI, enam pula penyeludup dan seorang tekong.
Daripada jumlah itu, katanya, di Sungai Nipah Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menahan 20 PATI kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan sempadan terutama di lorong tikus,” katanya.
Ismail Sabri berkata, polis semalam menahan 512 individu atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Perintah (PKP).
“Daripada jumlah itu, seramai 452 individu dikompaun manakala 59 direman dan satu individu lagi dijamin.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk 32 individu gagal menyediakan peralatan dan catitan keluar masuk, 14 tidak memakai pelitup muka, 103 individu melibatkan aktiviti kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal.
“Seramai 294 individu terlibat aktiviti di dalam pub dan kelab malam, 56 individu pula menyertai parti persendirian, lapan premis beroperasi melebihi tempoh, empat individu disyaki menjalankan aktiviti pelacuran serta seorang gagal mematuhi arahan kuarantin PKPD,” katanya. – Malaysiapost

