Musa Aman berprinsip – Annuar Musa

0
1

SETIAUSAHA Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menyifatkan tindakan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagai langkah berprinsip.

Namun begitu, beliau berkata, faktor Musa masih penting dalam politik Sabah walaupun tokoh itu tidak bertanding.

“Tan Sri Musa yang mencabar kesahihan pembubaran telah ambil langkah berprinsip dengan tidak sertai PRN… namun, faktor Musa tetap penting dalam politik Sabah,” ciapnya di Twitter, hari ini.

Beliau turut memuat naik petikan laporan mengenai ketidakhadiran Musa di mana-mana pusat penamaan calon semalam.

Musa yang menjadi pencetus kepada pembubaran DUN Sabah pada 30 Julai lalu, tidak tersenarai dalam calon Barisan Nasional (BN), malah tidak kelihatan di mana-mana pusat penamaan calon yang dibuka sejam mulai jam 9 pagi, semalam.

Musa hanya dilaporkan berkata ‘Jaga diri semua, semoga sentiasa dalam keadaan selamat’ menerusi ciapan di Twitter.

Beliau pada 9 September lalu menulis ‘Saya akan kembali ke Sungai Manila’ namun kelibatnya tidak ditemui pada kerusi baharu itu dalam Parlimen Libaran. – Malaysiapost