PASANGAN kekasih bergelar doktor dihukum penjara seminggu dan denda RM2,700 di Mahkamah Rendah Syariah, Kemaman, Terengganu hari ini kerana kesalahan khalwat.
Pasangan berusia 27 dan 26 tahun itu ditangkap di sebuah rumah di Mak Chili, Kamaman, jam 12.30 tengah hari, pada 16 Mei lalu.
Hakim Syarie, Mohd Fakhruddin Yusof dalam penghakimannya berkata, hukuman dan denda kepada pasangan itu sebagai pengajaran agar tidak mendekati zina.
“Kamu berdua bekerja dalam bidang perubatan, macam mana nak ubatkan orang sakit, soal hidup dan mati orang kalau pegawai perubatan tidak tahu dosa pahala, tidak ada kredibiliti dan integriti?
“Perbuatan menghampiri zina merupakan kesalahan serius sehinggakan jika disabitkan kesalahan itu di bawah hukuman hudud. Bagi yang sudah berkahwin boleh direjam sehingga mati,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Pasangan berkenaan akan berdepan hukuman penjara dua bulan lagi jika gagal menjelaskan denda.
Keputusan dibuat selepas mereka mengaku bersalah mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.
Bagi kesalahan itu, mereka boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.
Pendakwaan kes itu dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie, Mustafar Hamzah. – MalaysiaPost

